Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Lebih 40 orang mantan Pasukan Polis Diraja Brunei (Polis Marin), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi sama-sama menyemarakkan kedatangan bulan suci Ramadan.
Hadir pada majlis yang diadakan di Perpindahan Lambak Kanan itu ialah ACP (B) Haji Majid bin Damit dan DSP (B) Haji Osman bin Salleh berserta para isteri dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Haji Chuchu bin Haji Jalil.
Setiausaha majlis, Pengiran Razali bin Pengiran Yussof menjelaskan yang majlis itu adalah sebagai aktiviti tahunan yang bertujuan untuk sama-sama mendoakan khusus buat rakan-rakan dan kaum keluarga yang telah kembali ke rahmatullah agar diberikan rahmat dan keampunan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Dalam pada itu, ia juga untuk mengeratkan ikatan silaturahim dan perpaduan sesama ahli dan keluarga masing-masing yang sekali gus diharap dapat mendidik diri agar sentiasa mendekatkan diri kepada pelbagai kegiatan yang berkebajikan dalam kehidupan seharian.