40% penduduk Sabah sudah terima vaksin dos pertama

TUARAN, 1 OGOS – Hampir 40 peratus penduduk Sabah telah menerima suntikan vaksin dos pertama sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri dimulakan pada Mac lepas, kata Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata Sabah turut merekodkan sekitar 18 hingga 19 peratus penduduknya telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 melalui program imunisasi itu, setakat ini.

“Kita kena bekerja lebih keras dari sekarang (untuk mencapai sasaran imuniti kelompok). Kita akan menggunakan pelbagai kaedah dan menggembleng semua tenaga Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 negeri dan daerah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sulaman di sini hari ini.

Setakat semalam (31 Julai), seramai 1.2 juta daripada 2.7 juta penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan vaksin, dengan seramai 819,705 daripadanya adalah penerima dos pertama, manakala selebihnya iaitu 392,252 telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, pihaknya optimis Sabah mampu mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini susulan perkembangan positif jumlah penerima vaksin yang meningkat setiap hari. – Bernama