40 peratus penonton dibenarkan di Sepanyol

MADRID, 5 OGOS – Stadium bola sepak di Sepanyol bakal menyaksikan kehadiran 40 peratus penonton dan perlu memakai penutup mulut dan hidung susulan COVID-19, menurut Menteri Kesihatan negara itu semalam.

“Kami membenarkan sehingga 40 peratus daripada kapasiti stadium selain menetapkan penjarakan fizikal 1.5 meter,’’ kata Carolina Darias ketika sidang akhbar semalam.

Bagaimanapun, hanya pemegang tiket bermusim dan penonton tempatan dibenarkan masuk ke stadium bagi mengurangkan pergerakan penyokong di seluruh negara.

Memakai penutup mulut dan hidung diwajibkan di semua stadium manakala sebarang minuman, makanan dan rokok dilarang, tambahnya lagi.

“Sesi latihan perlu dijalankan tanpa kehadiran peminat atau disaksikan dalam jumlah yang terhad.”

Peraturan itu berkuatkuasa bermula 13 Ogos apabila La Liga kembali sehingga 29 Ogos di mana ia dikaji semula.

Sepanyol berdepan gelombang baharu kes koronavirus. Beberapa wilayah kembali memperketatkan peraturan termasuk Catalonia yang menguatkuasakan perintah berkurung di Barcelona.

Mesyuarat di kawasan terbabit turut dihadkan kepada 10 orang pada satu-satu masa. – AFP