40 sertai Kursus Marsyal Bomba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta kakitangan dari Syarikat Goldmyne Hardware Sdn Bhd menyertai Kursus Marsyal Bomba dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini hari ini, kursus selama tiga hari yang bermula pada 31 Ogos lalu di Jalan Landasan Lama, Berakas, turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Kursus tersebut mendedahkan para peserta pentingnya mempraktikkan di tempat kerja, mempelajari secara teori dan praktikal punca kebakaran, tindakan apabila berdepan insiden kebakaran dan penggunaan alat pemadam api yang betul serta membuat latihan pengosongan bangunan yang bersistematik.

JBP menawarkan Taklimat Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari bagi mana-mana syarikat atau agensi berminat dan sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Bahagian Perhubungan Awam di talian 2380409 sambungan 111.

Manakala itu, jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghu-bungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Peserta Kursus Marsyal Bomba berpeluang mengikuti praktikal memadam api menggunakan alat pemadam kebakaran. – Gambar serahan JBP