KOTA KINABALU, 4 OKT – Lebih 400 pemain golf dari 40 negara akan ke menyertai pusingan akhir Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2019 di empat kelab golf di negeri ini bermula 19 hingga 26 Oktober depan.
Kejohanan itu akan berlangsung di Sutera Harbour Marina Golf and Country Club, Sabah Golf and Country Club di sini, Dalit Bay Golf and Country Club di Tuaran dan Nexus Golf Resort Karambunai.
Acara tersebut akan dianjurkan dengan kerjasama Delta Trend Golf and Lesuire Holiday Sdn Bhd yang telah menganjurkan pusingan akhir WAGC di Kuala Lumpur pada 2017 dan tahun lepas di Johor Bahru.
Selain Perodua yang menjadi penaja utama sejak tujuh tahun lepas, ianya turut dijayakan oleh Tourism Malaysia dan Sabah Tourism Board (STB), bagi memastikan kejohanan itu berjalan dengan jayanya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata kementeriannya dengan aktifnya mempromosikan pelancongan di Sabah termasuk pelancongan sukan dan mengiktiraf kepentingan golf bagi menarik pelancong dan pelabur ke negeri ini. – Bernama


































