400 kes bunuh diri di Singapura pada 2019

SINGAPURA, 4 OGOS – Terdapat sejumlah 400 kes bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2019, meningkat berbanding 397 tahun sebelumnya, menurut Samaritans of Singapore (SOS).

SOS, pertubuhan didedikasikan untuk memberi sokongan emosi kepada individu yang menghadapi krisis, serta mereka yang merasakan mahu membunuh diri atau terkesan dengannya.

Pertubuhan itu mengatakan peningkatan kes pada tahun lalu membabitkan pelbagai peringkat usia.

“Kematian akibat bunuh diri menurun kepada 8.00 per 100,000 penduduk Singapura berbanding 8.36 pada 2018,” katanya dalam laman webnya.

SOS berkata bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan belia berumur 10 hingga 29 tahun.

Terutamanya, jumlah kematian akibat bunuh diri paling tinggi, melibatkan mereka yang berumur 20 hingga 29 tahun.

“Pada 2019, seramai 71 golongan muda berusia antara 20 dan 29 tahun membunuh diri.

Bunuh diri menyumbang kira-kira satu pertiga daripada semua kematian yang dilaporkan dalam kumpulan usia ini,” katanya.

SOS berkata mereka berusia antara 20 hingga 29 tahun menyumbang kira-kira 17 peratus dalam jumlah panggilan yang menghubungi Talian Hotline 24 jam, dan merangkumi sekitar 37 peratus pelanggan E-mel Befriending. – Bernama