400 warga Indonesia terima vaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seramai 400 orang warganegara Indonesia (WNI) dan pekerja migran Indonesia (PMI) di negara ini telah mendapatkan vaksin COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam, turut hadir bagi menyaksikan pelaksanaan vaksinasi khas tersebut ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

TYT Dr Sujatmiko mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah melaksanakan vaksinasi dengan cukup rapi dan lancar.

Seterusnya TYT Dr Sujatmiko dan Haji Maswadi bersetuju untuk memberikan lebih banyak waktu vaksinasi khas kepada WNI dan PMI dengan peruntukan 200 orang bagi setiap hari dan 600 orang pada Ahad yang akan diumumkan kemudian.

Tuan Yang Terutama turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam kerana telah melakukan program vaksinasi kepada seluruh warganegara asing termasuklah kepada warga negara Indonesia.

TYT Dr Sujatmiko semasa menyaksikan pelaksanaan vaksinasi khas untuk warganegara dan pekerja migran Indonesia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini. – Gambar serahan KBRI di Brunei Darussalam

Sambutan daripada WNI dan PMI di negara ini terhadap inisiatif berkenaan dapat digambarkan daripada jumlah pendaftaran yang melepasi daripada peruntukan 400 yang disediakan.
Hanya dalam masa satu malam, pendaftaran yang dibukakan terus penuh.

Oleh itu bagi yang belum berkesempatan untuk mendapatkan suntikan vaksin, TYT  Dr Sujatmiko menyatakan bahawa ia akan diaturkan bersama Kementerian Kesihatan pada kesempatan yang berikutnya.

Kenyataan menyatakan, langkah lain yang sedang diusahakan oleh KBRI di sini dalam usaha bagi mempercepat vaksinasi kepada WNI mahupun pekerja Indonesia sekali gus membantu usaha Brunei mencapai sasaran vaksinasi seluruh penduduknya adalah untuk mendatangkan personel perubatan dari Indonesia ke Negara Brunei Darussalam.

Untuk membantu meringankan beban masyarakat Indonesia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di pelbagai tempat di Brunei, KBRI Bandar Seri Begawan ketika ini juga sedang melakukan pengagihan makanan asasi kepada mereka.

KBRI Bandar Seri Begawan akan senantiasa memberikan perkhidmatan dan pelindungan kepada WNI dan PMI di masa pandemik COVID-19 melanda negara ini.