40,000 pekerja mungkin ditamatkan perkhidmatan

DALLAS, 26 OGOS – American Airlines kelmarin berkata bahawa ia akan mengurangkan lebih daripada 40,000 pekerjaan, termasuk 19,000 melalui cuti dari bekerja dan cuti sementara pada bulan Oktober dalam perancangannya untuk terus bertahan daripada kesan penularan pandemik yang melanda dunia ketika ini.

Para eksekutif syarikat itu mengatakan masalah ini hanya dapat dielakkan sekiranya kerajaan pusat memberi bantuan kepada syarikat penerbangan sebanyak AS$25 bilion lagi untuk menampung kos buruh selama enam bulan mendatang. Syarikat penerbangan itu mengatakan 23,500 pekerja telah menerima pampasan, bersara awal atau mengambil cuti lama. Bagaimanapun langkah itu masih tidak mencukupi bagi memastikan kestabilan syarikat berkenaan.

Langkah tersebut telah diumumkan kelmarin dengan 8,100 pekerja akan diberhentikan pada Oktober ini.

Syarikat itu memulakan tahunnya dengan kira-kira 140,000 pekerja tetapi menjangkakan kurang daripada 100,000 akan kekal pada Oktober. Perjalanan udara AS menjunam 95 peratus pada April, beberapa minggu selepas wabak koronavirus melanda Amerika Syarikat. Lalu lintas penumpang sedikit pulih sejak itu tetapi tetap menurun 70 peratus dari tahun lalu, dan syarikat penerbangan mengatakan mereka hanya memerlukan sebilangan kecil pekerja. – AP

Gambar fail menunjukkan pesawat American Airlines dilihat berada di salah satu pintu masuk ke Lapangan Terbang Kebangsaan Ronald Reagan Washington di Arlington, Virginia, pada 12 Mei lalu. – AFP