KOTA KINABALU, 24 MAC – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini, sejumlah 400,000 hektar ladang hutan akan dibangunkan dalam kawasan hutan simpan di negeri ini untuk pengeluaran kayu hutan menjelang 2036.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembangunan ladang hutan itu melibatkan kawasan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) di bawah lesen jangka panjang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA).
Katanya ladang hutan itu dikenal pasti berdasarkan Pelan Pengurusan Hutan untuk pengeluaran kayu hutan dan selari dengan aspirasi Kerajaan Sabah melestarikan sumber hutan seperti dalam Teras 1, Dasar Hutan Sabah 2018, bagi mengoptimumkan pengeluaran hutan simpan secara mampan.
“Pembangunan ladang hutan ini adalah bagi meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran kayu balak negeri sehingga enam juta meter padu setahun bagi menampung keperluan bekalan industri perkayuan negeri Sabah, dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Selain menambahkan stok dirian kayu hutan masa hadapan, usaha ini juga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan telah menubuhkan sebuah konsortium untuk menerajui pelaburan baharu di Sipitang bagi menggiat dan mengaktifkan industri kayu-kayan di kawasan itu. – Bernama