406 anak yatim terima kupon DANA

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 15 DIS – Majlis Penyampaian Sumbangan Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan daripada Dana Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah bagi Anak-anak Yatim (DANA) telah diteruskan lagi kelmarin, bagi seramai 406 orang anak yatim di Daerah Belait.

Majlis berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait dan dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku ahli Lembaga Amanah DANA.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA, serta pegawai-pegawai kanan dari pelbagai sektor kerajaan dan DANA.

Setiap anak yatim yang berdaftar di bawah Sekretariat DANA berkenaan menerima 16 keping kupon bernilai $450 keseluruhannya dengan nilai keseluruhan kupon yang disampaikan pada majlis itu ialah $182,700.

Kupon-kupon berkenaan boleh digunakan di 25 buah kedai yang membekalkan peralatan sekolah di seluruh negara untuk memastikan bahawa para pelajar dapat membuat persiapan bagi tahun akademik baharu.

Salah seorang penerima yang sempat ditemui, Dayang Nurhaziah Izzati binti Moslley melahirkan perasaan gembira kerana menerima sumbangan daripada DANA dan beliau me-rancang untuk membeli peralatan sekolah seperti buku-buku serta beg sekolah baharu dan banyak lagi.

Dua beradik, Awang Hasanul Farid dan Dayang Nurul Damia binti Kamarul Ariffin masing-masing pelajar Tahun 11 dan 10, juga melahirkan penghargaan mereka kepada DANA atas bantuan untuk mengurangkan beban mereka, terutamanya dengan tahun akademik baharu yang bakal menjelang.

Majlis seumpamanya akan diteruskan lagi bagi seramai 522 orang anak yatim di Daerah Tutong yang dijadualkan pada 17 Disember ini.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan sumbangan kupon kepada salah seorang anak yatim.
Dayang Nurhaziah Izzati (kanan) bersama keluarganya semasa majlis tersebut.