41 pelajar terima tajaan jalur lebar mudah alih

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Seramai 41 orang pelajar BIBD ALAF, baru-baru ini, telah menerima tajaan berupa jalur lebar mudah alih dan sambungan jalur lebar selama tiga bulan daripada Progresif bagi memudahkan pembelajaran dalam talian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), tajaan itu sangat diperlukan oleh pelajar-pelajar BIBD ALAF yang akan menduduki peperiksaan besar seperti GCE ‘A’ Level, GCE ‘O’ Level, Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Menurut kenyataan, dengan semua sekolah di negara ini beralih kepada pembelajaran dalam talian atau sekolah maya disebabkan pandemik COVID-19, dan ia adalah penting bagi BIBD memastikan bahawa pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan pembelajaran mereka.

Peruntukan sambungan jalur lebar itu akan membolehkan pelajar-pelajar berkenaan mengakses bahan-bahan pengajaran dalam talian dan sesi-sesi persidangan video bersama guru-guru mereka.

Ketua Strategi Jenama Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad dipetik sebagai berkata, “Kami gembira untuk menyumbang kepada inisiatif bermanfaat sedemikian. Tahun lalu, kami telah melancarkan Progresif 1% Pledge, kempen untuk memberikan satu peratus daripada setiap dolar yang diperolehi untuk menyokong tonggak tanggungjawab sosial korporat kami, dengan pendidikan adalah yang penting.”

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar pula berkata, “Dalam masa yang tidak pernah berlaku dan sukar ini, BIBD komited untuk mengambil pendekatan seluruh negara bagi memastikan mereka yang kurang bernasib baik dan terdedah diberi perhatian.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan rakan seperti Progresif. Sumbangan itu menggambarkan komitmen berterusan mereka untuk mempromosikan kesalinghubungan dan akses pendidikan kepada semua rakyat Brunei,” ujarnya.

Kenyataan menjelaskan, Program BIBD ALAF pada masa ini menyokong 240 orang pelajar dengan 41 daripada mereka bakal menduduki peperiksaan besar dalam tahun akademik ini.

Hajah Nurul Akmar menerima sumbangan daripada Dayang Hafiza.