41,490 orang miskin tegar di Sabah sehingga 1 Dis

KOTA KINABALU, 7 DIS – Seramai 41,490 orang miskin tegar direkodkan di Sabah sehingga 1 Disember lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata seramai 24,864 orang pula adalah dalam kumpulan miskin, dan 20,412 orang terkeluar daripada kategori miskin.

“Oleh itu keseluruhan statistik kemiskinan negeri Sabah menunjukkan seramai 86,766 orang miskin tegar, miskin dan terkeluar (kategori miskin),” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang bertanya mengenai statistik kemiskinan terkini di Sabah.

Menjawab soalan tambahan Ewon apakah usaha kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan ini terutama rakyat yang terkesan akibat COVID-19, Jahid berkata pihaknya telah merangka pelbagai langkah perlu untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

“Bagi memberi nilai tambah kepada usaha ini, kementerian berpendirian terbuka bagi membuat libat urus dengan mana-mana pihak bagi kita memikirkan dan menyelesaikan masalah ini secara bersama,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Anwar Ayuub (STAR-Liawan) yang bertanya apakah tindakan kerajaan untuk membantu dan menambah kuota Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah, Jahid berkata jumlah keperluan PPRT secara purata setiap tahun di Sabah adalah sebanyak 4,500 unit.  – Bernama