416 pelajar diraikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Seramai 416 orang pelajar Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil bagi Pencapaian Akademik Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘A’ dan ‘O’ bagi 2018 yang diadakan secara berasingan, kelmarin.

Majlis yang berlangsung di auditorium maktab berkenaan itu turut menyaksikan penyampaian anugerah ‘Honourable Mentions’ kepada 45 orang penerima iaitu 32 bagi pelajar peringkat ‘A’ dan 13 bagi pelajar peringkat ‘O’.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar peringkat ‘O’ pada sebelah petang ialah Pemangku Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, ACP Dato Paduka Haji Muhammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menyatakan harapan bahawa kejayaan yang diperolehi akan menjadi pendorong dan motivasi untuk meningkatkan pencapaian yang lebih jauh dan tinggi lagi.

Beliau seterusnya menambah, kejayaan yang diperolehi ini tidak akan tercapai tanpa didikan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang sentiasa memberi bimbingan dan dorongan daripada ibu bapa dan keluarga.

Gambar beramai penerima hadiah dan sijil bagi pencapaian akademik BGCE Pangkat ‘A’ dan ‘O’ bersama tetamu kehormat majlis.

“Jadilah contoh masyarakat kerana semua itu mempunyai masa depan yang cerah sebagai peneraju generasi akan datang dan jauhkan diri daripada terlibat dengan perkara negatif dan jauhkan diri daripada jenayah, penyalahgunaan dadah dan isu sosial yang merosakkan akhlak dan fikiran,” tegasnya.

Sementara itu, penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar peringkat ‘A’ pula telah disempurnakan oleh Pengarah Keanggotaan di Kementerian Pertahanan, Kolonel (Udara) Alirupendi bin Haji Perudin pada majlis yang diadakan pada sebelah pagi.

Pemangku Pengetua Maktab berkenaan, Hajah Susulawati binti DP Haji Muhammad dalam ucapannya menjelaskan bahawa maktab berkenaan telah mencapai 86.11 peratus bagi pelajar yang mencapai tiga ‘A’ level ke atas.

“Jika dibandingkan pada 2017, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.07 peratus manakala pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya dua ‘A’ Level ke atas sebanyak 96.11 peratus di mana pencapaian ini juga meningkat sebanyak 5.33 peratus,” jelasnya.

Katanya lagi, “Walaupun maktab ini belum mencapai sasaran 100 peratus mendapat sekurangnya 2 ‘A’ level tetapi keputusan ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan sehingga pihak maktab mendapat penghargaan bagi pencapaian yang melepasi sasaran peringkat negara semasa Konvensyen Pemimpin Sekolah 2019”.

Manakala itu, pada majlis penyampaian hadiah dan sijil bagi pelajar Peringkat ‘O’, Hajah Susilawati dalam ucapannya alu-aluannya antara lain berkongsi pencapaian pelajar bagi 2018, yang katanya, mencapai 97.75 peratus bagi yang memperolehi lima ‘O’ ke atas.

Sementara itu, 85.77 peratus iaitu 229 orang pelajar telah mencapai 7 ‘O’ ke atas di mana pencapaian ini adalah bagi sasaran maktab bagi 2017 dan daripada jumlah tersebut juga, 136 orang pelajar iaitu 50.94 peratus telah memperolehi 9 ‘O’.

Beliau seterusnya menekankan, pihak maktab akan sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pelan strategik bagi meningkatkan prestasi pelajar maktab ke arah mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Sehubungan itu, kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga pelajar adalah penting untuk sama-sama membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang akademik.

Antara lain objektif majlis berkenaan adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk bersaing dan bertanding secara sihat selain melahirkan pelajar inovatif dan kreatif di samping mengekalkan purata tertinggi peratus lulus maktab berkenaan.