42 dicekup terlibat kegiatan sabung ayam

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Kaki sabung ayam bertempiaran lari sambil membawa ayam masing-masing apabila gelanggang tempat mereka melakukan kegiatan haram itu diserbu oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada jam 12 tengah hari tadi di Kampung Sungai Duhon, Kuala Belait.

Dalam serbuan hasil kerjasama keanggotaan Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Kuala Belait, Seria, Panaga dan Balai Polis Sungai Liang telah berjaya menahan 42 lelaki yang terlibat dalam kegiatan itu, terdiri daripada tujuh warga tempatan, 21 penduduk tetap dan 14 warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 67 tahun.

PPDB turut merampas 11 ekor ayam, peralatan judi dan wang tunai dipercayai digunakan bagi pertaruhan ayam sabung. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Balai Polis Panaga untuk siasatan lanjut.

Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 iaitu bermain di rumah perjudian, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak $10,000 dan enam bulan penjara.

Manakala pemilik rumah akan berdepan dengan kesalahan mengikut Seksyen 4 (a) Akta Rumah Perjudian Penggal 28, jika sabit boleh dihukum denda $20,000 dan 12 bulan penjara.

PPDB dalam kenyataan yang dikeluarkan mengatakan akan terus menjalankan pemantauan dan risikan dalam objektif utama untuk menangani serta membanteras sebarang aktiviti-aktiviti salah yang melanggar akta perundangan di negara ini.

PPDB juga berharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang berunsur kegiatan jenayah melalui talian kecemasan polis 993 atau melaporkan ke balai-balai polis yang berdekatan.

Seramai 42 lelaki asyik bersabung ayam berjaya ditahan dalam serbuan itu.
Gelanggang sabung ayam yang dibina untuk kegiatan haram itu.
Aksi ayam sabung yang sempat dirakamkan oleh pihak PPDB.