42 sertai kempen derma darah

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Kelab Lions Belait

BELAIT, 7 SEPT – Seramai 42 orang telah menderma darah pada kempen yang diadakan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan, kelmarin.

Dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan serta Kelab Lions Belait, kempen bertujuan untuk membantu menambah bekalan darah bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

Kempen juga bertujuan untuk menarik penduduk sekitar bagi berkunjung ke perpustakaan dan mengetahui mengenai pelbagai kemudahan serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang kerap diadakan oleh perpustakaan berkenaan, di mana lebih banyak aktiviti akan diadakan dengan permulaan cuti penggal persekolahan tidak lama lagi.

Semasa kempen itu, seramai 51 orang telah mendaftar bagaimanapun hanya 42 daripada mereka layak untuk menderma darah.

Dengan kejayaan kempen tersebut, Perpustakaan DBP Kampung Pandan akan terus mengendalikan lebih banyak aktiviti menjelang cuti penggal persekolahan yang akan datang, termasuk Kem Membaca, permainan mencetak muka, kraf tangan, origami dan bermacam-macam lagi.

Antara yang menyertai kempen menderma darah di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampung Pandan.