SYDNEY, 19 JAN – Seorang pencuri telah melarikan 42,000 ujian antigen yang amat diperlukan dari sebuah depoh barangan di Sydney, menurut pihak berkuasa hari ini.
Seorang lelaki telah memasuki sebuah depoh barangan di pinggir bandar Mascot petang kelmarin dan ‘mengambil kit ujian’, menurut jurucakap polis New South Wales (NSW), tanpa memberikan butiran lanjut.
“Pegawai di South Sydney Police Area Command telah menjalankan siasatan mengenai kejadian curi ujian pantas antigen (ART),” katanya. Perdana Menteri NSW, Dominic Perrottet menyelar kejadian itu, yang berlaku ketika Australia berdepan dengan kekurangan kit ART.
“Pada masa semua orang di seluruh negara membuat usaha bersungguh-sungguh menjaga keselamatan semua orang, membuat pengorbanan, berlaku sesuatu kejadian yang memalukan,” kata Perrottet.
“Pihak polis akan memberkas si pelakunya.”
Pemerhati pengguna negara itu menerima laporan bahawa penjualan runcit bagi kit ART adalah kira-kira AS$22 setiap satu. Kesatuan Majlis Perdagangan Australia minggu ini mengancam untuk membuat bantahan sekiranya kit ART percuma tidak diberikan kepada petugas yang terdedah.
Perdana Menteri Scott Morrison hari ini mempertahankan kerajaannya dalam mengendalikan pembelian ujian.
“Saya memahami mengenai kekurangan kit ART telah menyebabkan kekecewaan namun banyak komen dibuat melalui pengalaman lalu berbanding jangkaan,” katanya. – AFP