422 sampel diuji dalam tempoh 24 jam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 147 orang dengan satu kes yang masih aktif.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei iaitu 166 hari yang lalu, di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah enam kes.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya di sini, hari ini, turut mengongsikan bahawa seramai 310 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 7,098 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 422 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 65,083 ujian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan, bagi mereka yang ingin keluar negara dan mendapatkan ujian swab, bolehlah mendapatkannya tiga hingga lima hari sebelum penerbangan tertakluk kepada syarat negara dituju.

Ujian boleh didapati pada waktu bekerja di Pusat Kesihatan Berakas dan setiap Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam pada jam 2 hingga 5:30 petang manakala di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pula setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada hari kelepasan awam.