Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Seramai 423 orang graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah diraikan pada Majlis Konvokesyen UTB ke-9 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UTB, telah berkenan berangkat mengurniakan ijazah kepada para graduan terdiri daripada enam orang penerima ijazah doktor falsafah, 78 graduan ijazah sarjana dan 339 graduan ijazah sarjana muda.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman serta Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Perarakan canselor memasuki Dewan Plenari menyusul, dengan didahului Bentara menjunjung Mushaf Al-Quran kemudian disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menerusi Surah Al-Imran, ayat 190 hingga 195 oleh Awangku Yura Alif bin Pengiran Yusofe, graduan Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Mekanikal. Manakala intisari ayat dibacakan oleh graduan Program Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Teknologi, Awang Muhammad Khaliq Syafiq bin Mohd Don.
Profesor Dr Hajah Zohrah dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan bahawa pada majlis konvokesyen berkenaan, buat pertama kalinya, Anugerah Pingat Canselor akan diterima oleh Dayang Rohadatul’Aisy Nabilah binti Irwan, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengurusan Teknologi dari Sekolah Perdagangan UTB di mana penganugerahannya akan dilaksanakan semasa Majlis Anugerah Cemerlang UTB nanti.
Beliau seterusnya menyembahkan, pada 2021, UTB telah memendekkan semua program Ijazah sarjana muda kecuali kejuruteraan kepada tiga tahun dan mula menawarkan empat bidang baharu iaitu Agrotechnology (minor dalam Business); Communication; Fashion Design dan Technology; and Mathematical Finance.
“Sambutan terhadap program-program tersebut adalah sangat menggalakkan. Insya-Allah UTB akan terus menimbang kesesuaian program-program yang ditawarkan dari semasa ke semasa agar ia tetap relevan dan memberi kesan kepada perkembangan sumber tenaga manusia di Negara Brunei Darussalam,” tambah beliau.
Dalam sembah alu-aluannya, Profesor Dr Hajah Zohrah juga memaklumkan bahawa program Ijazah Sarjana Computing and Information System (Kerja Kursus) telah pun mendapat akreditasi separa Chartered Engineer Professional (CITP) dan Chartered Engineer (CEng) dari British Computer Society, sebuah institut bertauliah dan badan profesional antarabangsa bagi pengamal Teknologi Maklumat dan Sains Komputer.
Dalam pada itu, beliau juga menjunjung kasih atas kurnia perkenan untuk menaik taraf makmal kejuruteraan elektrik dan elektronik di Kampus UTB.
“Transformasi kepada makmal baharu dengan peralatan digital ini nanti akan meningkatkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif bagi pelajar-pelajar dalam jurusan tersebut,” jelas beliau.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah sebelum berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan yang diraikan. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Majlis konvokesyen berkenaan merupakan julung kalinya bagi UTB melahirkan graduan jurusan Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Kimia; Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Petroleum; Doktor Falsafah dalam Pengurusan; Doktor Falsafah dalam Rangkaian Keselamatan Komputer; dan Doktor Falsafah dalam Komputer dan Sistem Maklumat.
Selain itu, beberapa graduan jurusan sains juga mendapat sijil kepujian dan antaranya adalah dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengkomputeran dengan Data Analitik; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Matematik Gunaan dan Ekonomi; Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Makanan dan Teknologi; dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Seni Bina.
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (major dalam Elektronik dan Komunikasi); dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (major dalam Kuasa Elektronik).
Setakat ini, UTB telah melahirkan seramai 5,141 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan BDTVEC; 295 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Tahap Lima; 2,265 graduan sarjana muda; 365 graduan sarjana; dan lapan graduan doktor falsafah dari bidang-bidang kejuruteraan, perdagangan, pengkomputeran dan informatik; sains gunaan dan matematik; dan reka bentuk.