Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Sejak dibukakan pada 16 Februari lalu, Program Wakaf Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai apabila sebanyak 4,253 naskhah telah ditempah untuk diwakafkan.
Wakaf mushaf berkenaan telah mula diagihkan kepada masjid-masjid, surau dan balai ibadat, sekolah-sekolah agama, Arab, Institusi Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah-sekolah rendah dan menengah, Sekolah Al-Falah, Nadi Al-Quran serta saudara-saudara baharu pada hari ini.
Majlis penyerahan wakaf mushaf berkenaan telah berlangsung di Auditorium UNISSA dan disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Mushaf berkenaan merupakan hasil tulisan tangan oleh anak tempatan dan dijadikan kepala perarakan pada setiap Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA.
Pada fasa pertama projek wakaf berkenaan, UNISSA memperuntukkan 20,000 naskhah mushaf dengan menyasarkan institusi masjid, surau, balai ibadat, institusi pendidikan, saudara-saudara baharu dan institusi atau organisasi luar negara sebagai penerima wakaf.
Wakaf mushaf berkenaan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat ke sekolah-sekolah agama dan Arab serta sekolah-sekolah rendah dan menengah bermula hari ini.
Bagi wakaf Mushaf UNISSA ke luar negara, UNISSA akan mengagihkan secara berperingkat ke tempat yang dipilih oleh Jawatankuasa Wakaf UNISSA mengikut tempahan orang ramai. Setakat ini, sebahagian besar para pewakaf telah menyalurkan wakaf Mushaf UNISSA ke luar negara.
Objektif wakaf berkenaan adalah untuk membuka ruang kepada orang ramai yang ingin berwakaf mushaf ke tempat-tempat yang memerlukan di dalam dan luar negara, sekali gus menjadikan UNISSA sebagai platform bagi menguruskan wakaf mushaf berkenaan.
Selain projek wakaf, UNISSA juga membukakan kepada orang ramai yang ingin memiliki mushaf berkenaan yang boleh didapati di Unit Penerbitan Mushaf UNISSA serta di Kedai Buku UNISSA Press.
Projek Wakaf Mushaf UNISSA berkenaan diharap mendapat keberkatan dan memudahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah wakaf bagi meraih pahala yang berlipat ganda serta mushaf tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya.