Oleh Raz AS
Jerkbait merupakan umpan palsu atau lure yang berbentuk seperti ikan kecil, yang mempunyai badan yang tirus memanjang, bagi persembahan mendatar (horizontal). Selain dikenali dengan nama jerkbait, ia juga diberi nama sebagai minnow lure.
Jika digulung terus (straight retrieve), jerkbait akan menghasilkan aksi rolling iaitu badannya akan tumbang ke kiri dan ke kanan, berbanding bergelek-gelek (wobbling). Aksi ini mampu menarik perhatian ikan untuk menyambarnya.
Walau bagaimanapun, kelebihan jerkbait berbanding lure lainnya adalah apabila menggunakan teknik snap (twitch atau jerk)-pause, yang akan memberikannya pergerakan tidak menentu atau erratic, menjunam ke kiri dan ke kanan seakan-akan ikan kecil yang tercedera atau melarikan diri, yang pastinya akan mencetuskan naluri pemangsa ikan-ikan besar yang ada berdekatan.
Terdapat lebih daripada satu cara untuk menggunakan jerkbait. Sesetengah pemancing lebih suka menggunakan teknik twitching atau jerking dengan menghalakan hujung joran ke sisi, sementara yang setengah lagi lebih gemar menghalakan hujung jorannya ke bawah. Namun yang pastinya bertukar-tukar mekanik retrieve awda boleh mengurangkan keletihan pada lengan.
Sebelum mencuba retrieve yang berlainan, sebaiknya buat lontaran pendek dan perhatikan adakah lure tersebut menghasilkan aksi yang baik mengikut retrieve tersebut. Ini kerana meskipun semua jerkbait mempunyai rupa bentuk hampir 100 peratus sama namun sesetengahnya lebih sesuai digunakan dengan teknik, kelajuan dan kekuatan twitch atau jerk yang tertentu. Oleh itu selaraskan cara dan kelajuan retrieve awda ketika menggunakan model yang berlainan, tidak kiralah lain jenama, kedalaman selaman dan saiznya.
Selain itu suhu air juga boleh menentukan faktor kelajuan retrieve anda atau berapa lama pause yang dilakukan. Secara amnya suhu air yang lebih panas bermakna ikan lebih aktif oleh itu, lebih pantas retrieve, lebih agresif twitch atau jerk dan lebih pendek masa pause. Manakala ketika suhu air rendah, persembahannya lebih perlahan, lembut dan memerlukan pause yang lebih lama.
Jerkbait juga dianggap sebagai search lure, yang bermaksud lure yang boleh digunakan untuk merangkumi banyak kawasan secara pantas untuk mencari keberadaan ikan. Namun begitu apabila ia berada di kawasan zon strike atau kawasan diyakini persembunyian ikan sebaiknya perlahankan sedikit retrieve dengan memperlamakan pause.
Selain didatangkan dengan tahap selaman yang berbeza seperti selaman cetek (0-3 kaki), sederhana (4-7 kaki) dan dalam (7 kaki ke atas), ia juga mempunyai keterapungan yang berbeza mengikut model, iaitu jenis floating, suspending dan sinking.
Jenis floating lebih sesuai digunakan di kawasan cetek. Apabila pause dilakukan ia akan naik ke permukaan. Dengan melakukan retrieve hanya di bawah permukaan air snap-pause-float dapat menghasilkan riak di permukaan seakan-akan ikan yang tercedera. Selain itu ia juga berguna untuk menduga kawasan yang mempunyai dasar yang ‘bepenyangkutan’, apabila terasa lure terlanggar struktur retrieve segera dihentikan untuk menimbulkannya ke atas dan mengelakkan sangkut.
Bagi jenis suspending pula, apabila pause dilakukan ia akan terus berada di tahap kedalamannya. Bermakna, ia boleh berada di kawasan zon strike lebih lama. Tambahan lagi ia tidak kaku saja ketika pause, tetapi terbuai oleh arus dan ditambah dengan pergerakan mekanisme seperti bebola besi di dalamnya. Pergerakan mikro ini boleh menarik perhatian ikan.
Manakala jenis sinking lebih berguna untuk menduga kawasan perairan yang dalam. Pemancing boleh menghitung dari angka satu dan seterusnya sebaik saja lure mencecah air untuk paras kedalaman yang dikehendaki sebelum retrieve dimulakan. Ketika pause pula, lure akan jatuh ke bawah seperti anak ikan yang akan mati.
Selain itu, daripada kebanyakan jenis lure lainnya, jerkbait juga ada yang didatangkan dengan mekanisme yang boleh menghasilkan bunyi dan ada juga jenis ‘senyap’. Bunyi yang dihasilkan daripada mekanisme tersebut boleh menarik perhatian ikan, walau bagaimanapun ia bukanlah 100 peratus jaminan.
Kadang-kadang persembahan yang lebih senyap lebih membuahkan hasil terutama ketika ikan lebih bersifat kurang aktif, atau sensitif dan takut seperti di kawasan-kawasan perairan yang terlalu jernih atau kawasan yang mendapat tekanan tinggi daripada aktiviti memancing.
Secara amnya gunakan jerkbait yang ‘berbunyi’ ketika keadaan ‘bising’ disebabkan ombak di permukaan dan angin kuat, keadaan air keruh atau waktu malam, sementara jerkbait senyap digunakan di perairan yang jernih dan tenang. Namun jangan takut untuk bertukar antara keduanya sekiranya salah satunya tidak membuahkan hasil meski diyakini kawasan tersebut mempunyai ikan.