43 perdengarkan bacaan Al-Quran secara maya

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 36 peserta lelaki dan tujuh peserta perempuan memperdengarkan bacaan mereka dalam Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah Seluruh Negara bagi tahun 2021 yang berlangsung selama tiga hari, bermula kelmarin.

Pertandingan tahunan yang diadakan pada 27, 28 dan 30 Oktober itu diungkayahkan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan julung kalinya diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet.

Pertandingan tersebut dianjurkan untuk memilih wakil peserta qari dan qariah yang memperolehi markah 80 peratus ke atas bagi memasuki peringkat separuh akhir kebangsaan yang akan diadakan nanti.

Di samping itu, ia juga merupakan galakkan untuk menarik minat orang ramai dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran dan sebagai pendorong kepada mereka yang berbakat di dalam seni pembacaan Al-Quran agar mengasah bakat yang ada melalui pertandingan membaca Al-Quran tersebut.

Para hakim mendengarkan rakaman bacaan peserta Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah Seluruh Negara bagi 2021.