432 jalani pengasingan diri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, pada ketika ini, terdapat 432 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Setakat ini, seramai 2,823 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 275 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 26,848 ujian,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa setakat ini seramai 398,295 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut, manakala syarikat dan premis pula berjumlah 10,391.

Sementara itu berkenaan dengan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,628 telah dimuat turun oleh 4,171 premis perniagaan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.