433 projek pelaburan baharu dikenal pasti

KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 433 projek baharu bernilai RM97.4 bilion yang berpotensi untuk pelaburan di Malaysia.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek berimpak tinggi berkenaan dijangka memberikan kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Meskipun negara dilanda wabak COVID-19, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan terutama pemberian pengecualian cukai di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mukhriz (Bebas-Jerlun) meminta pihak kerajaan memaklumkan inisiatif dan strategi memulihkan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Beliau juga bertanya mengenai langkah segera serta pelan jangka sederhana bagi mencergaskan kembali sektor perindustrian di samping menarik aliran pelaburan asing ke dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan antara inisiatif di bawah PRIHATIN ialah pengenalan pengecualian cukai selama 10 hingga 15 tahun kepada pelaburan langsung asing baharu dalam sektor pembuatan yang melibatkan pelaburan modal berjumlah RM300 juta atau lebih. – Bernama