434 jalani pengasingan mandatori

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sejumlah 434 orang kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 3,707 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori semenjak Mac lalu.

Jumlah mereka yang mengasingkan diri itu dikongsi oleh Kementerian Kesihatan dalam kemas kini siaran akhbar situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini.

Manakala setakat 12 tengah hari, tiada jangkitan baharu dilaporkan, mengekalkan jumlahnya kepada 141 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 558 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 40,202 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.