436 sampel diuji, tiada kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 145 orang dengan tiga kes masih aktif.

Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Kementerian Kesihatan juga mengongsikan bahawa seramai 398 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan 5,468 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 436 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 54,303 ujian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar nega-ra, hendaklah menjalankan ujian saringan sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

Hasil ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut boleh mendapatkannya di Pusat Kesihatan Berakas yang beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang manakala itu, setiap Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dibuka dari 2 petang hingga 5:30 petang.

Ujian juga boleh didapati di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang beroperasi setiap hari kecuali hari kelepasan awam, dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.