Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Jumlah kes kategori 4, 5 lebih rendah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Berdasarkan pemantauan epidemiologi yang berterusan, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 pada masa gelombang ketiga ini adalah lebih rendah daripada gelombang pertama dan kedua.

    “Semasa gelombang pertama, statistik kes dalam kedua-dua kategori itu ialah 450 orang bagi setiap 10,000 kes, gelombang kedua mencatatkan 60 orang bagi setiap 10,000 kes, berbanding dengan gelombang ketiga ini iaitu enam kes bagi setiap 10,000 orang,” kongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku wakil Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, hari ini.

    Yang Berhormat Dato semasa mengongsikan dapatan terkini daripada Jawatankuasa Pandu COVID hasil daripada penelitian dan penilaian yang telah dilakukan mengenai situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam itu menekankan bahawa ia menandakan keberkesanan Program Vaksinasi Kebangsaan telah berjaya mengurangkan dengan signifikan jumlah kes yang mengalami kesan teruk akibat COVID.

    “Dapatan-dapatan sains telah membuktikan bahawa dua dos vaksin mampu memberikan perlindungan baik kepada kesan buruk COVID namun tiga dos vaksin didapati memberikan perlindungan tambahan yang tinggi terhadap kesan-kesan negatif ini,” jelasnya.

    Oleh yang demikian, beliau menasihatkan kepada orang ramai khususnya warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik untuk mendapatkan dos ketiga vaksin COVID sebaik saja layak menerimanya.

    Semasa menyentuh mengenai penggunaan ujian ART, beliau berkata kira-kira 75 hingga 80 peratus daripada kes-kes COVID yang dilaporkan di negara ini pada masa ini adalah hasil daripada ujian ART yang dilakukan sendiri di rumah dan beliau mengingatkan orang ramai untuk melaporkan keputusan ART dan mengemas kini status kesihatan harian masing-masing di dalam aplikasi BruHealth bagi membantu kerajaan memantau situasi COVID di negara ini dengan lebih sempurna serta dapat membantu kerajaan mengawal wabak tersebut dengan lebih baik “Sejak penggunaan ART sebagai kaedah pengesanan kes positif COVID di negara ini pada 15 Februari yang lalu, Talian Nasihat Kesihatan 148 dan Talian Darussalam 123 telah menerima jumlah panggilan yang sangat tinggi daripada orang ramai,” ujarnya.

    Menurutnya, pada purata, sebanyak 7,000 hingga 10,000 panggilan diterima setiap hari oleh Talian Darussalam 123 di mana hanya kira-kira 15 ke 20 peratus sahaja panggilan yang dapat dijawab.

    “Menurut statistik yang ada, sebahagian besar daripada panggilan tersebut berkaitan dengan isu warna kod aplikasi BruHealth, pertanyaan-pertanyaan mengenai protokol kesihatan dan bantuan makanan bagi kes-kes dan kontak-kontak terdekat,” katanya.

    Bagi menangani keadaan itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa pihak kerajaan secara pendekatan whole-of-government akan melaksanakan beberapa perkara iaitu mengemaskinikan aplikasi BruHealth yang akan membolehkan kes-kes atau kontak-kontak terdekat membuat pilihan sama ada memerlukan bantuan makanan atau tidak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...