44 kru kapal selamat

DUBAI, 13 JUN – Kru-kru dari dua kapal tangki minyak telah diselamatkan dari pantai Iran hari ini selepas mereka melaporkan diserang sebelum terbakar di Teluk Oman, mengakibatkan harga minyak dunia naik mendadak.

Insiden misteri itu, kali kedua membabitkan perkapalan di laluan strategik dalam tempoh beberapa minggu, berlaku di tengah ketegangan memuncak antara Tehran dan Washington yang menuding jari ke arah Iran berhubung serangan kapal tangki pada Mei lalu.

Iran berkata, tentera lautnya telah menyelamatkan 44 anggota kru selepas dua kapal terbakar dalam ‘kemalangan’ di luar pantainya.

Namun kapal perang US Fifth Fleet berkata, kapal perangnya telah menerima panggilan kecemasan daripada kedua-dua buah kapal tangki terbabit yang melaporkan ‘mereka diserang’.

Pihak Berkuasa Maritim Norway berkata, tiga letupan dilaporkan berlaku di kapal tangki Front Altair milik Norway, selepas ia ‘diserang’ bersama kapal pengangkut kargo Kokuka Courageous milik Singapura.

Gambar yang AFP perolehi daripada agensi berita Iran, ISNA pada 13 Jun menunjukkan sebuah kapal terbakar yang dikatakan telah diserang di perairan Teluk Oman. – AFP

Media kerajaan Iran berkata, insiden pertama berlaku di kapal Front Altair pada jam 8:50 pagi (0420 GMT) sejauh 25 batu nautika di luar pantai pelabuhan Bandar-e-Jask di selatan negara itu.

Kapal tangki dengan bendera Kepulauan Marshall itu membawa kargo etanol dari Qatar ke Taiwan, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.

“Ketika kapal itu terbakar, 23 kru terjun ke dalam air dan diselamatkan oleh sebuah kapal berhampiran serta diserahkan kepada unit menyelamat Iran.

“Satu jam selepas insiden pertama, kapal kedua terbakar jam 9:50 pagi sejauh 28 batu nautika di luar perairan pelabuhan sama,” katanya.

Kokuka Courageous mengibarkan bendera Panama menuju ke Singapura dari Arab Saudi membawa kargo metanol dan 21 krunya yang terjun ke dalam air telah diselamatkan, menurut IRNA.

BSM Ship Management berpangkalan di Singapura, yang dimiliki oleh Kokuka Courageous, berkata ia telah ‘melancarkan respons kecemasan berskala penuh berikutan insiden keselamatan’.

“Seramai 21 kru meninggalkan kapal tersebut selepas insiden yang mengakibatkan kerosakan terhadap sisi hadapan kapal itu,” katanya.

“Seorang kru lelaki dari Kokuka Courageous cedera ringan dalam insiden itu dan diberikan rawatan pertolongan cemas.”

Katanya, kapal itu berada 70 batu nautika dari Emiriah Arab Bersatu dan hanya 14 batu nautika dari pantai pesisir Iran.

Tehran berkata ia telah menghantar sebuah helikopter dari pelabuhan Bandar-e-Jask menuju ke lokasi kapal-kapal tersebut bagi ‘siasatan lanjut’. – AFP