44,000 dijangkiti denggi

ISLAMABAD, 6 NOV – Seramai 44,000 orang telah dijangkiti denggi di Pakistan pada tahun ini, kata pegawai kanan kesihatan hari ini, tatkala wabak meningkat yang dikaitkan dengan suhu tinggi dan hujan yang turun tidak menentu melanda kawasan lain di Asia.

Dr Rana Safdar, pegawai kanan di Institut Kesihatan Nasional (NIH), memberitahu AFP angka tersebut merupakan satu peningkatan besar berbanding rekod jangkitan 27,000 orang sebelum ini pada 2011. Safdar berkata 66 orang telah terbunuh oleh penyakit itu setakat ini pada 2019, berbanding 370 pada 2011. Beliau menyalahkan perubahan iklim atas pertambahan kes berkenaan, namun enggan mengulas lanjut. Kerajaan sedang ‘menggunakan segala sumber yang ada untuk membendung masalah tersebut,” kata beliau.

Doktor Mahseema Siddique, doktor pesakit denggi, menyalahkan kerajaan atas pertambahan dalam kes, berkata pihak berkuasa tempatan di Punjab dan Islamabad gagal mengambil langkah berjaga-jaga seperti menutup tadahan air atau menyembur bahan kimia antidenggi.

“Mereka sedar hanya selepas ratusan orang dijangkiti dan ia sudah terlambat. Terdapat sejumlah besar kawasan di mana kumpulan penyembur tidak dapat mengunjunginya,” kata beliau. Jumlah tertinggi pesakit dicatat di ibu negara Islamabad dan bandar garison Rawalpindi, di mana 12,433 orang didapati dijangkiti virus berkenaan. – AP