447 lagi terima vaksin AZ

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Seramai 447 individu berusia 60 tahun ke bawah menerima vaksinasi mereka hari ini melalui program vaksinasi Oxford-AstraZeneca secara sukarela.

Daripada jumlah tersebut, seramai 291 orang menerima suntikan vaksin mereka di Daerah Brunei dan Muara, 126 di Daerah Belait, 20 di Daerah Tutong dan 10 di Daerah Temburong.

Menurut salah seorang belia yang turut menyertai program vaksinasi tersebut, Awang Abdul Azim Rabbani bin Haji Abdul Rajak, 26, beliau tidak mengalami kesukaran ketika datang ke Stadium Tertutup untuk melakukan vaksinasi.

“Semuanya berjalan lancar di mana ketika jururawat melakukan suntikan tersebut, saya sama sekali tidak merasakan apa-apa,” jelasnya yang juga merupakan pengasas Star Anise Co.

Ketika ditanya sama ada beliau merasa bimbang untuk mengambil suntikan vaksin AstraZeneca, jelasnya, “Saya membaca beberapa laporan berita mengenai gangguan pembekuan darah, tetapi kejadian itu sangat jarang terjadi.”

Antara yang menyertai program vaksinasi Oxford-AstraZeneca COVID-19 menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, Pengasas Bersama Star Anise Co, Labibah Shafiee dan ibunya, Dayang Satrani binti Haji Kamis, juga menerima suntikan mereka semasa program vaksinasi tersebut di Stadium Tertutup.

Ditanya apa yang membuatkannya tekad untuk mengambil suntikan vaksin, Labibah berkata, nenek dan ayahnya merupakan individu yang berusia 60 tahun ke atas, sementara bapa saudaranya adalah penerima transplantasi ginjal.

“Kerajaan Brunei, melalui Kementerian Kesihatan, telah melakukan usaha yang terbaik untuk membantu rakyat negara ini, jadi saya tidak takut mengambil vaksin AstraZeneca,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima suntikan vaksin, Colin Dickinson yang merupakan seorang guru kimia di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), bersama isterinya menyatakan bahawa kebanyakan ubat-ubatan mempunyai sedikit risiko.

“Saya tidak fikir Pertubuhan Kesihatan Sedunia akan menyetujui penggunaan vaksin itu, sekiranya ia tidak selamat,” jelasnya.

Menurut Kementerian Kesihatan, slot tambahan yang ditawarkan untuk vaksin AstraZeneca ini hanya tersedia dari 6 hingga 29 Mei.

Mereka yang ingin menerima vaksin boleh mengunjungi pusat vaksinasi yang ditentukan secara walk-in. Bagaimanapun, sesiapa yang menempah slot di aplikasi BruHealth akan diberi jaminan untuk melakukan vaksinasi pada waktu yang ditentukan dan diberi keutamaan vaksinasi.

Pusat vaksinasi adalah di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, Hospital Suri Seri Begawan di Daerah Belait, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam di Daerah Temburong.