448 kes kanser lelaki didiagnosis 2020

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sebanyak 987 kes kanser baharu telah didiagnosis pada 2020 dengan 448 daripadanya merupakan kes kanser lelaki baharu iaitu 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Seorang daripada empat orang lelaki di Brunei berisiko menghidap kanser sepanjang hayat mereka dan kes kanser dijangka meningkat 108 peratus dari 2020 hingga 2040 berbanding
peningkatan 22.8 peratus dari 2010 hingga 2019.

Unjuran peningkatan yang tinggi boleh dikaitkan dengan peningkatan dalam pertumbuhan penduduk, peningkatan jangka hayat, populasi yang semakin menua, perubahan gaya hidup (obesiti, merokok, alkohol dan diet barat) selain daripada kualiti pemeriksaan dan intervensi diagnostik yang lebih baik.

Perkara perkara berkenaan ditekankan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Kanser Brunei (TBCC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) sempena Movember iaitu bulan kesedaran kesihatan lelaki.

Kenyataan menyatakan lagi, apa yang lebih membimbangkan ialah unjuran peningkatan kematian berkaitan kanser kepada 160 peratus daripada 434 kes pada 2020 kepada 1,123 kes pada 2040.

Lelaki menyumbang 54 peratus (236 daripada 434) daripada semua kematian akibat kanser pada 2020.

Kanser yang biasa menyerang lelaki di Negara Brunei Darussalam ini ialah kolorektal, paru-paru, prostat, hati dan perut. Kanser spesifik lain bagi lelaki ialah kanser testikular dan zakar serta kanser yang jarang ialah payudara lelaki.

Movember merupakan acara tahunan untuk menyimpan misai pada November sebagai sokongan kepada bapa-bapa, abang dan adik lelaki, anak lelaki dan rakan lelaki untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser prostat dan testis serta kesihatan mental lelaki.

Antara matlamatnya adalah untuk membuat atau membawa perubahan kepada kesihatan lelaki.