45 anggota SPSS sertai taklimat keselamatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran para pekerja mengenai bahaya kebakaran dan cuaca yang tidak menentu, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengendalikan Taklimat Keselamatan Umum, Life Saver 995 bagi anggota Setia Protective Security Services (SPSS), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi F di sini, taklimat berkenaan disertai oleh seramai 45 orang peserta yang diadakan di Bangunan SPSS.

Semasa taklimat, para peserta diberikan penerangan dalam taklimat mengenai keselamatan umum, Life Saver 995, pengosongan bangunan, cara mengangkat mangsa dan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api dengan betul mengikut jenis.

Taklimat itu juga bermatlamat untuk memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran di dalam bangunan serta membolehkan interaksi, kerjasama dan mengukuhkan lagi hubungan di antara JBP dan pihak kakitangan SPSS.

JBP juga menyatakan bahawa jabatan itu ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Life Saver 995 bagi mengetahui langkah-langkah aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi menggunakan alat pemadam api khusus bagi jabatan kerajaan, syarikat swasta, sekolah-sekolah, penduduk kampung dan rancangan perumahan negara di negara ini.

Anggota bomba dan penyelamat memberikan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api yang betul kepada kakitangan SPSS, baru-baru ini. – Gambar oleh Cawangan Operasi F, JBP