Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Jab. Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Bagi merealisasikan visi ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’, Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Tutong telah mengadakan Program Masyarakat Bermaklumat bermula hari ini sehingga esok di daerah itu.
Seramai 45 orang Muslimah dari Masjid Kampung Keriam, Masjid Kampung Sinaut, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos dan Masjid Kampung Kupang telah menghadiri program yang bertujuan mempertingkatkan ilmu pengetahuan mereka.
Program dihadiri oleh Ketua Seksyen Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, manakala taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan, Dayang Sastra binti Haji Julaini.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti diaturkan bagi memberikan pendedahan kepada para peserta termasuklah taklimat daripada beberapa agensi.
Taklimat menyentuh mengenai tiga kaedah penyebaran maklumat yang diguna pakai oleh Jabatan Penerangan, diikuti penerangan mengenai ‘Peranan Darussalam Enterprise (DARe) dalam Membangun Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana’ dan ‘Peluang-peluang dan Program Keusahawanan’ Dare yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif DARe, Dayang Nurkhairunnisa Afiqah binti Haji Mursidi.
Selain itu, peserta program itu juga berpeluang mengadakan lawatan ke Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Royal Brunei Culinary (RBC).
Program Masyarakat Bermaklumat ini diharap dapat menjadi agenda dan platform kerjasama yang unggul bagi membina jambatan perhubungan yang kukuh di antara Jabatan Penerangan, agensi-agensi yang terlibat dan anggota masyarakat.
Ia juga dihasratkan dapat mengukuhkan jati diri dan memberi keyakinan yang tinggi dalam menangani cabaran dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini.