Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seramai 45 orang pegawai telah berjaya menamatkan Kursus Staf Pertengahan (ISC) 22/2022 dan diraikan pada majlis penutup yang berlangsung di Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), hari ini.
Kursus itu dihadiri oleh seramai 40 orang pegawai ABDB, seorang pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan empat orang pegawai tentera dari Republik Indonesia, Malaysia, Republik Singapura dan Thailand.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta dan anugerah kepada peserta-peserta terbaik ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal bin Abdul Latif.
Turut hadir ialah pemangku timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah tentera, Pengarah Jabatan Gerakan PPDB, atase dan penasihat pertahanan dari negara masing-masing serta pegawai-pegawai ABDB.
Majlis menyaksikan Anugerah Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Commander RBAF’s Paper Terbaik diberikan kepada Kapten Isaac Chia Jia Le daripada Angkatan Bersenjata Republik Singapura manakala Anugerah Service Paper Terbaik dimenangi oleh 944 Kapten (U) Mohammad Hazwan @ Abdul Haady bin Husny dari Tentera Udara Diraja Brunei.
Kursus Staf Pertengahan selama 14 minggu itu bermula pada 5 September hingga
9 Disember, dan dikendalikan bagi pegawai peringkat pertengahan dalam perkembangan pembangunan kerjaya sebagai pegawai-pegawai staf am.
Ia bertujuan untuk mengembangkan kemahiran profesional, terutamanya dalam bidang kepimpinan dan pengurusan, pengajian strategik, komunikasi dan pembentangan serta fasa perancangan operasi bersama di peringkat ketiga-tiga unit angkatan tentera.
Kursus berkenaan merangkumi lawatan ke kementerian-kementerian dalam negara
yang memberikan gambaran tentang sumbangan, matlamat dan inisiatif ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Di samping itu, lawatan sambil belajar ke luar negara selama seminggu ke Kota Kinabalu turut dimuatkan bagi mendedahkan peserta-peserta kursus dengan pengetahuan dan pengalaman secara langsung berkaitan dengan sejarah peperangan dan isu keselamatan yang dihadapi oleh wilayah Malaysia Timur.