45 sertai kempen derma darah

Oleh Syahmi Hassan

TEMBURONG, 22 JULAI – Seramai 45 orang telah menderma darah sepanjang kempen dua hari yang dikendalikan oleh Sukarelawan Belia dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Brunei di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.

Jumlah berkenaan termasuk 23 orang yang menderma pada hari kedua kempen, hari ini.

Kempen di daerah berkenaan merupakan yang kelima diadakan oleh Sukarelawan Belia dengan tujuan untuk membantu Pusat Pendermaan Darah bagi mengumpulkan stok darah yang semakin berkurangan disebabkan peningkatan penggunaan darah berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Lebih 350 orang telah menderma bagi empat kempen derma darah yang telah diungkayahkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Sukarelawan Belia turut mengucapkan terima kasih kepada Ayam Brand atas tajaan mereka untuk kempen derma darah berkenaan.

Seramai 45 orang telah menderma darah sepanjang kempen dua hari yang diadakan di Dewan Serba guna Pusat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong. – Gambar oleh Muiz Matdani

Salah seorang penderma darah, Dayang Amalina semasa ditemui mengongsikan bahawa ini merupakan kali pertama beliau menderma darah dan pada awalnya beliau berasa gementar.

“Akan tetapi sesudah melaluinya, Alhamdulillah tidak berapa sakit dan berasa puas hati dan barulah sampai hajat dan kesempatan menderma,” kongsi Dayang Amalina.

Seorang lagi penderma yang enggan dikenali memberitahu bahawa ini merupakan kali kelima beliau menderma.

“Akan tetapi selepas beberapa tahun, barulah dapat menderma lagi disebabkan masa yang tidak mengizinkan,” ujarnya.

Beliau turut mengongsikan faedah menderma yang menurutnya baik untuk kesihatan di samping sebagai amal untuk menolong menyelamatkan nyawa.