KYIV, UKRAINE, 16 SEPT – Kira-kira 450 kubur ditemui di satu tapak perkuburan berdekatan bandar timur laut Ukraine, Izyum yang baru-baru ini ditawan oleh tentera Kyiv, kata penolong kanan presiden hari ini.
“Empat ratus dan lima puluh kubur… Ia hanya satu tapak perkuburan besar-besaran yang ditemui berhampiran Izyum. Di wilayah diduduki, keganasan, penyeksaan dan pembunuhan beramai-ramai telah berlaku secara berleluasa berbulan-bulan lamanya,” kata Mykhaylo Podolyak.
Beliau menyiarkan gambar di media sosial yang menunjukkan timbunan kubur yang digali di kawasan berhutan.
Kenyataan tersebut keluar selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata dalam satu ucapan kepada negara bahawa ‘sebuah kubur besar-besaran’ telah ditemui berhampiran Izyum.
Namun beliau tidak memberikan butir lanjut mengenai jumlah mayat yang telah ditemui atau tanda-tanda sama ada mereka adalah orang awam atau kakitangan tentera, atau pun punca kematian.
Rusia telah dituduh melancarkan serangan ke atas orang awam yang bersamaan dengan jenayah perang, terutamanya di bandar di luar ibu negara Kyiv. – AFP