4,500 pelajar Sabah terima bantuan

KIMANIS, 19 Dis – Seramai 4,500 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada golongan B40 dan miskin di seluruh Sabah mendapat manfaat daripada Program Back To School 2020 anjuran Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia membabitkan kos keseluruhan bernilai RM315,000.

“Diharapkan agar bantuan ini dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa berpendapatan rendah menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk sesi persekolahan tahun depan.

“Bantuan ini juga bertujuan untuk memberi galakan kepada pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan sahsiah dan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan, dekat sini hari ini.

Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan beg sekolah kepada para pelajar sekolah rendah Kawasan Kimanis pada Program ‘Back To School’ peringkat Parlimen Kimanis di Dewan SMK Bongawan, kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Rina Mohd Harun bersama para pelajar sekolah yang menerima bantuan beg sekolah Kawasan Kimanis pada Program ‘Back To School’ peringkat Parlimen Kimanis di Dewan SMK Bongawan, kelmarin. – Bernama

Rina berkata bantuan awal persekolahan itu berbentuk baucar buku tulis dan peralatan persekolahan bersesuaian seperti beg sekolah dengan kadar RM50 untuk murid sekolah rendah manakala kadar bagi pelajar sekolah menengah pula RM70.

“Seramai 180 pelajar dari 22 sekolah di kawasan Kimanis menerima bantuan pada hari ini. Selain itu kami turut menyampaikan bantuan kepada 104 pelajar di daerah ini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata iklan kemasukan pengambilan baharu pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2020 menerima permohonan 80,319 orang sedangkan kuota pengambilan yang ditetapkan ialah 7,628 orang.

“Ia melibatkan 3,595 pelajar bagi MRSM Premier, MRSM Ulul Albab (870 pelajar), MRSM Program International General Certificate of Secondary Education (2,485 pelajar), MRSM Teknikal (180 pelajar) dan MRSM Program International Baccalaureate Middle Years Programme (489 pelajar).

Rina berkata mereka yang tidak berjaya pada semakan itu masih berpeluang mengemukakan rayuan untuk mengisi kekosongan 300 pelajar yang menolak tawaran kemasukan tersebut. – Bernama