Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    $451.79j peruntukan bagi Kementerian Pertahanan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Kementerian Pertahanan dan jabatan-jabatan di bawahnya disediakan peruntukan sebanyak $451.79 juta bagi tahun kewangan 2017/2018, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

    Jumlah tersebut menurun sebanyak 20 peratus berbanding $112.86 juta yang diperuntukkan pada tahun Kewangan yang lalu, katanya semasa menyampaikan mukadimah bagi Kementerian Pertahanan pada hari ketiga permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, pagi tadi.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, daripada $451.79 juta itu, sebanyak $288.236 juta adalah bagi pembayaran gaji manakala selebihnya iaitu sebanyak $163.553 juta adalah untuk lain-lain belanja tahunan yang berulang-ulang.

    Beliau berkata, antara fokus dan keutamaan Kementerian Pertahanan ialah untuk mengambil pendekatan berdaya maju yang terbaik dalam meningkatkan keberkesanan dalam menyelaraskan strategi kementerian ke arah memantapkan perlindungan isu-isu kepentingan negara seperti memelihara kedaulatan, keutuhan wilayah, kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, falsafah negara, serta menyumbang kepada keamanan serantau dan global.

    Kementerian juga akan menambah baik tahap kesiapsiagaan dari segi keupayaan tentera bagi menjamin keselamatan negara. Ke arah ini, perancangan kemajuan daripada aspek-aspek logistik, latihan, aset dan peralatan tentera, infrastruktur dukungan serta tahap moral anggota akan terus diberikan perhatian sewajarnya.

    Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.
    Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.

    “Fokus seterusnya ialah meningkatkan diplomasi pertahanan melalui perjanjian persefahaman, pertukaran lawatan, latihan ketenteraan, pertukaran perisikan, pelantikan atase/penasihat pertahanan, serta latihan dan kursus, pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa dalam sama-sama mencegah ancaman-ancaman keselamatan yang kian kompleks dan mencabar, terutamanya ancaman keselamatan yang merentasi sempadan.”

    Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, fokus tersebut mengambil kira akan cabaran, konsep pemahaman ancaman keselamatan yang telah berubah dalam arus globalisasi dan integrasi yang semakin mendalam. Semua ini sebahagian besarnya telah membuahkan persekitaran keselamatan yang bersifat dinamik serta tambahan kepada spektrum ancaman yang kini bukan saja merangkumi ancaman bentuk tradisional tetapi juga bentuk baru (bukan tradisional).

    Dalam menangani ketahanan keupayaan tentera, usaha penyelarasan terus dilaksanakan ke atas rangka kerja pengurusan sumber bagi menjana keupayaan dengan lebih holistik, sistematik dan proaktif. Ini termasuk proses-proses dalaman dalam penyusunan semula keutamaan perkembangan keupayaan, dengan mengambil kira analisis kos faedah sepanjang hayat yang lebih mapan.

    Yang Berhormat Pehin berkata, bagi memastikan pemeliharaan aset dan penyelarasan bantuan lojistik secara mapan dan berkesan, inisiatif-inisiatif dan kajian-kajian juga telah diperkenalkan seperti business process reengineering terhadap beberapa pengurusan rangkaian bekalan, dasar bantuan pemeliharaan Maintenance Repair and Overhaul (MRO) yang dapat dilaratkan ke industri dan perusahaan tempatan yang berkebolehan serta rangkaian sokongan pembuat dan pembekal asal (Original Equipment Manufacturer) melalui pendekatan perkongsian sektor awam-swasta (public private partnerships – PPP).

    “Selain itu, penggantian sistem teknologi maklumat, Sistem Maklumat Logistik Pertahanan (Defence Logistic Information System) kepada yang baru juga akan diberi keutamaan sebagai pemangkin utama bagi meningkatkan keberkesanan dalam pemeliharaan aset.

    “Dalam memantau prestasi aset-aset, Kementerian Pertahanan juga telah menggunakan Balance Scorecard dengan Operational Key Performance Indicator bagi memantau tahap pemeliharaan aset-aset operasi agar sentiasa dalam tahap kesediaan yang tinggi.

    “Dalam meningkatkan pengurusan aset, mengambil kira kadar keusangan dengan kepesatan perkembangan teknologi dalam bidang pertahanan, Kementerian Pertahanan telah mengambil pendekatan melalui smart buyer of defence technology dalam mendukung konsep misi operasi dengan teknologi ketenteraan yang bersesuaian, efektif, mapan dan mempunyai keupayaan rantaian bekalan yang berterusan.”

    Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi, Kementerian Pertahanan juga tidak terkecuali dalam merancang perubahan-perubahan dan melaksanakan pendekatan-pendekatan baru yang inovatif sebagai langkah kepada penjimatan perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang berhemah dengan inisiatif-inisiatif yang antara lainnya seperti penubuhan Pasukan Petugas Jimat, rancangan untuk memperkenalkan sistem E-Mart, memaksimumkan peluang kerjasama dengan negara-negara sahabat dalam bentuk pembangunan kapasiti dan menjalankan kajian mengenai peluang-peluang perkembangan defence support industry di negara ini

    Kesemua perancangan dan sasaran-sasaran ini dilaksanakan menggunakan rangka kerja strategik Kementerian Pertahanan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek dan pelan-pelan tindakan tersebut dicapai dengan berkesan serta berdaya-tahan. Panduan Strategik Pertahanan (Defence Strategic Guidance) tahun 2016/2017 yang bertemakan “Kemampuan Melalui Pengurusan Sumber Secara Bijak Disertai Pembangunan Keupayaan Seimbang” akan terus dijadikan rujukan bagi Tahun Kewangan 2017/2018 dalam melaksanakan projek-projek dan pelan-pelan tindakan yang sedang berjalan mahupun yang sedang dirancang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda