4,542 panggilan kecemasan dari Jan-Sept

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sebanyak 4,542 panggilan kecemasan telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi tempoh Januari hingga September 2021 di seluruh negara.

Daripada jumlah panggilan kecemasan berkenaan, sebanyak 234 panggilan adalah bagi kejadian kebakaran rumah, bangunan, kereta, elektrik; 3,585 bagi kejadian bilik/kereta terkunci, menyiasat asap, gas bocor, insiden gangguan dan menyelamat binatang liar seperti ular, biawak, lebah, kucing dan anjing, tanah susur, kemalangan jalan raya, menyelamat mangsa dan 399 panggilan adalah bagi kebakaran hutan dan kebakaran rumput. Statistik panggilan kecemasan direkodkan bagi seluruh negara untuk tempoh Januari hingga September 2021 dikongsi oleh JBP, dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut JPB, sebanyak 119 panggilan kecemasan kebakaran struktur telah diterima bagi seluruh negara untuk tempoh Januari hingga September 2021 di mana bagi Daerah Brunei dan Muara dicatatkan sebanyak 84 panggilan; Daerah Belait 19 panggilan; Daerah Tutong 12 panggilan dan bagi Daerah Temburong empat panggilan.

Manakala itu, bagi tempoh Januari hingga September 2021, sebanyak 41 panggilan kecemasan yang melibatkan bangunan dengan 14 panggilan adalah bagi kebakaran bangunan dengan anggaran kerugian sebanyak $11,418,006.31 serta 27 panggilan adalah bagi kebakaran rumah dengan anggaran kerugian sebanyak $745,810.00.

Punca utama bagi kebakaran struktur ialah sebanyak 36 panggilan disebabkan elektrik iaitu kerosakan pada papan suis utama, incoming cable, lebih bebanan dan fuse cutout; 16 panggilan disebabkan oleh kerosakan pada komponen seperti relay connection penghawa dingin, mesin pencuci pakaian, peti sejuk, lampu led dan balast lampu kalimantang serta 25 panggilan disebabkan kecuaian individu seperti terlebih beban pada kabel sambungan, lebih had mencas telefon dan lebih panas.

Sementara itu, punca yang dikenal pasti bagi kebakaran struktur 3A ialah elektrik iaitu sebanyak 78 panggilan, kesilapan atau kecuaian manusia iaitu sebanyak 25 panggilan, LPG iaitu sebanyak sembilan panggilan dan insiden pembakar api (incendiary incidents) tujuh panggilan.

JBP menyatakan inisiatif jabatan berkenaan dalam menangani dan mengurangkan kadar kerugian dan kematian akibat kebakaran ialah melalui pendekatan masyarakat di mana seramai 14,610 orang telah menghadiri Program Kesedaran Awam sehingga Jun 2021 serta melalui Anugerah Masyarakat Berjasa di mana sebanyak 47 orang warga berjasa telah menerima anugerah berkenaan sehingga Jun 202.

JBP juga mendedahkan bahawa seramai 121,620 orang telah menghadiri Program Kesedaran Awam dari 2018 hingga September 2021.

Gambar fail kebakaran di Kampung Burung Pingai pada Oktober lalu. Sebanyak 4,524 panggilan kecemasan diterima JBP, dengan 234 daripadanya adalah bagi kejadian kebakaran rumah, bangunan, kereta dan elektrik.