46 pain darah berjaya dikumpulkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Sebanyak 46 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen menderma darah anjuran Sukarelawan Belia dengan Kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Kempen bertujuan untuk menyelamatkan nyawa yang memerlukan darah di mana seorang penderma boleh menyelamatkan hingga tiga nyawa.

Ketua Jabatan Operasi Komuniti Sukarelawan Belia, Awang Mohammad Ashmeer bin Imtiaz Ahmad ketika ditemui menjelaskan bahawa kempen yang diadakan tersebut merupakan kesinambungan daripada kempen derma darah yang dianjurkan di Daerah Tutong dan Daerah Belait sebelum ini.

“Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan dapat dilihat pada kempen derma darah kali ini termasuklah sokongan daripada agensi kerajaan seperti sekumpulan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dari Balai Polis Berakas yang turut sama terlibat dalam kempen tersebut,” tambah Awang Mohammad Ashmeer lagi.

Antara yang menderma darah pada kempen di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani