Thursday, August 11, 2022
22.8 C
Brunei

46 pain darah dikumpul

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022, Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menerusi Jabatan Perkhidmatan Makmal telah menjalankan kempen derma darah di Lobi Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), di ibu negara, hari ini.

Kempen anjuran Regus Brunei tersebut telah berjaya mengutip sebanyak 46 pain darah daripada kalangan kakitangan dan pegawai yang bekerja dalam bangunan tersebut serta orang ramai yang hadir.

Salah seorang penderma darah, Awang Muhd Hamizan bin Haji Hashim, 30, ketika ditemu bual mengongsikan bahawa keinginan menderma memang ada, akan tetapi sukar bagi beliau untuk pergi ke hospital bagi menyampaikan hajatnya itu.

Oleh yang demikian, dengan adanya kempen derma darah seperti itu, ia memudahkan beliau untuk menunaikan hajat tersebut.

“Alhamdulillah, memandangkan ia diadakan dalam satu bangunan dengan tempat saya bekerja, maka saya tidak mensia-siakannya dan terus pergi ke sini untuk menderma,” kongsi beliau, yang merupakan salah seorang pekerja Tabung Amanah Pekerja (TAP) di Bangunan PGGMB.

“Menderma darah sangat berfaedah di mana ia boleh menolong menyelamatkan nyawa manusia. Pada masa yang sama, sedikit sebanyak dapat menambah stok darah di Hospital RIPAS,” kata beliau lagi sambil menambah bahawa ia juga bagus untuk kesihatan seseorang itu.

Di hujung temu bual, Awang Muhd Hamizan menyarankan, “Kepada orang ramai yang mampu untuk menderma darah, selagi dapat menolong menyelamatkan nyawa orang, walaupun sedikit, selagi itu teruskan untuk menderma.”

Jabatan Perkhidmatan Makmal akan meneruskan lagi kempen mereka pada 28 dan 29 Jun ini, di Al-Bukhari Textiles, cawangan Aman Hills, dari 10 pagi hingga 2 petang; pada 30 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas anjuran Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 bagi Minggu Ekonomi dari 10 pagi hingga 2 petang; dan 2 Julai di Unicorp Sdn Bhd, Kompleks Perindustrian Beribi, dari 10 pagi hingga 3 petang.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menderma darah di pusat pendermaan darah atau di tabung-tabung darah berdekatan semasa waktu bekerja dan digalakkan untuk menempah slot derma darah melalui aplikasi BloodKad terlebih dahulu.

Orang ramai semasa menderma darah di Lobi Bangunan PGGMB, ibu negara, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -