Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    46 sertai projek mencari asteroid

    Oleh Lyna Mohamad

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Pencarian global bagi asteroid dalam projek sains awam gabungan NASA menyaksikan 13 pasukan Brunei menyertai acara berkenaan, merangkumi 46 peserta dari enam kumpulan institusi pendidikan tinggi, yang diadakan dari 28 Februari hingga 24 Mac lalu.

    Pasukan-pasukan berkenaan mewakili Universiti Teknologi Brunei (UTB Galileo, UTB Ptolemy, UTB Kepler dan UTB Brahe) dan Kolej IGS (KIGS Astronomers 1 dan KIGS Astronomers 2) berserta tujuh kumpulan sains awam iaitu Kaus, Semaun, Serbang, Gandi, Gagatar, Panding dan Persatuan Astronomi (PABD).

    Kolej IGS diwakili oleh lima pelajar dan seorang pensyarah dalam kempen All Brunei Darussalam Asteroid itu.

    Kempen berkenaan merupakan perkongsian di bawah memorandum persefahaman bersama Persatuan Astronomi Nepal (NASO) dan kerjasama International Astronomical Search Collaboration (IASC) yang disokong oleh Penyelaras Outreach Kebangsaan, Pejabat bagi Outreach Astronomi, Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

    Projek sains awam gabungan NASA itu menggalakkan pelajar-pelajar dan komuniti Brunei untuk membuat penemuan astronomi dan menyertai pencarian asteroid secara langsung dan dijalankan pada platform dalam talian dengan objektif mengenal pasti asteroid dekat bumi (NEO) menggunakan perisian Astrometrica dengan menganalisis data sebenar yang diperoleh menerusi teleskop-teleskop Pan-STARRS.

    Antara pelajar dari Kolej IGS yang terpilih untuk menyertai projek sains awam gabungan NASA yang diadakan pada 28 Februari hingga 24 Mac lalu. Projek yang turut disertai institusi-institusi pendidikan tinggi lain itu menggalakkan pelajar dan komuniti Brunei untuk membuat penemuan astronomi dan menyertai pencarian asteroid secara langsung dalam platform online. – Gambar oleh Lyna Mohamad
    DARI KIRI: Dayang Nur Azyan Atiqah dan Sonny bergambar bersama sijil penyertaan projek yang diadakan baru-baru ini.

    Salah seorang peserta kempen itu, Dayang Nur Azyan Atiqah binti Mohamad yang merupakan pelajar Kolej IGS dalam jurusan Perakaunan Perniagaan dan pengerusi Kelab Astronomi Kolej IGS, meluahkan kegembiraannya dapat menyertai kempen berkenaan.

    “Saya mempelajari banyak perkara baharu menerusi kempen itu, seperti belajar bagaimana mencari objek-objek tidak diketahui dan mendapatkan kemahiran saintifik menggunakan Astrometrica,” katanya.

    Beliau menambah bahawa pengalaman menjadi ahli astronomi amatur dan dapat membuat penemuan awal mengenai potensi asteroid semasa acara itu membuatkannya berasa sangat gembira.

    Sonny anak Jumpo yang merupakan ahli PABD, penasihat Kelab Astronomi Kolej IGS serta penyelia kumpulan itu semasa kempen tersebut, pula berkata bahawa beliau menjangkakan para pelajar memperoleh lebih banyak pengetahuan dengan mendalami pengajian astronomi semasa kempen berkenaan.

    Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mencari lebih banyak bakat muda tempatan di peringkat pendidikan tinggi ke dalam bidang astronomi.

    Sebagai salah satu kelab aktiviti luar kurikulum Kolej IGS, yang pertama kali ditubuhkan tahun lalu, Kelab Astronomi Kolej IGS akan terus terlibat dalam lebih banyak kempen yang dianjurkan oleh PABD pada masa hadapan, dengan harapan lebih ramai pelajar akan menyertai kelab tersebut dan mencatat lebih banyak pencapaian bersama.

    “Pada masa hadapan, kami ingin lebih melibatkan ramai pelajar Brunei dalam sebarang kempen yang dianjurkan PABD,” tambah Sonny.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...