46 warga Mashhor menderma darah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 7 OGOS – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunannya di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR), Mashhor General Contractor Sdn Bhd telah menganjurkan kempen menderma darah yang diadakan di pejabat utamanya di Jalan Pangsa, Seria, hari ini.

Dengan bantuan Unit Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Suri Seri Begawan (SSB), kempen berkenaan telah disertai oleh 46 orang bagaimanapun hanya 42 daripada mereka yang layak menderma darah.

Bertujuan untuk menambah bekalan darah bagi tabung darah tempatan untuk membantu mereka yang sangat memerlukannya, kempen berkenaan telah menyaksikan penyertaan kakitangan serta pegawai-pegawai kanan dan ketua-ketua jabatan syarikat tersebut.

Dengan tema Bleed for a Cause, kempen berkenaan merupakan program tahunan Mashhor yang juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan mengenai kepentingan menderma darah dan bagaimana ia boleh menyelamatkan nyawa.

Turut hadir bagi mengetuai kempen berkenaan sebagai salah seorang peserta yang menderma darah ialah Timbalan Pengarah Operasi, Malai Shamil Faris bin Haji Dr Malai Abdul Hamid; Pengurus HSSE Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif; Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ferdinand De Chavez dan Pengurus Perkhidmatan Katering Mashhor, Awang Mohd Ismail bin Mohd Ibrahim.

Ini merupakan tahun ke-12 berturut-turut Mashhor menganjurkan kempen derma darah dan berhasrat untuk terus mengadakannya.

Antara kakitangan yang menyertai kempen derma darah anjuran Mashhor.
Timbalan pengarah operasi Mashhor turut menderma darah pada kempen berkenaan.