463 juta kanak-kanak di seluruh dunia tiada akses pendidikan dalam talian

AMERIKA SYARIKAT, 27 OGOS – Di tengah pandemik COVID-19 dan penutupan sekolah yang meluas, sekurang-kurangnya satu pertiga pelajar yang terjejas di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian, menurut satu kajian PBB yang dikeluarkan kelmarin.

Secara keseluruhan, kira-kira 463 juta kanak-kanak kekurangan peralatan atau tiada mempunyai akses elektronik untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, kata laporan dari UNICEF.

“Jumlah kanak-kanak yang terjejas pendidikan sepenuhnya selama berbulan-bulan adalah masalah darurat dalam pendidikan global,” kata Henrietta Fore, pengarah eksekutif Tabung Kanak-kanak PBB, dalam satu kenyataan.

“Kesannya dapat dirasakan kepada ekonomi dan masyarakat selama beberapa dekad yang akan datang,” katanya. PBB menganggarkan bahawa 1.5 bilion kanak-kanak di seluruh dunia telah terjejas oleh penutupan sekolah disebabkan oleh wabak tersebut.

Laporan itu menunjukkan perbezaan geografi terhadap akses kanak-kanak bagi pendidikan secara dalam talian, dapat dilihat lebih sedikit yang terjejas di Eropah berbanding negara di Afrika atau sebahagian Asia. – AFP