465 kes cubaan bunuh diri sejak Jan-Jun

PETALING JAYA, 10 SEPT – Sejumlah 465 kes cubaan bunuh diri dirujuk kepada Kementerian Kesihatan bagi tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 675 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lepas dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi membantu menangani isu dan juga beberapa agensi kerajaan lain turut mewujudkan bantuan.

Beliau berkata secara keseluruhannya sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lepas 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian ini, dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu, dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.

Katanya ia berpunca daripada faktor-faktor seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Bernama