Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 14 Jan – Jabatan Muzium-muzium Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada masa ini sedang mempamerkan sejumlah 47 buah karya lukisan yang dihasilkan oleh seramai 21 orang pelukis tempatan di Muzium Daerah Belait Jalan Maulana, di sini.
Sehubungan itu, satu majlis pelancaran telah diadakan kelmarin, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang.
Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Haji Mohamad Jefri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis tersebut berkata, pelukis-pelukis yang menyertai pameran Lukisan Spektrum Daerah Belait ini terdiri daripada perintis yang berpengalaman dan telah mencipta nama di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dalam bidang berkenaan.
Menurutnya lagi, spektrum membawa maksud jalur warna-warni yang terhasil apabila cahaya melintasi prisma menjadi tajuk pameran itu, merujuk kepada keistimewaan, keindahan dan keunikan yang terselindung di Daerah Belait dan kemudiannya diterjemahkan di atas kanvas atau media lain mengikuti cita rasa tersendiri pelukisnya.
“Ianya juga mempamerkan terjemahan pelukis yang merangkumi pelbagai tajuk termasuk budaya dan warisan, ekonomi, alam semula jadi, mercu tanda sejarah, kegiatan sosial dan juga kraf tangan yang terdapat di daerah ini,” tambahnya.



Pameran Lukisan Spektrum Daerah Belait itu dibukakan secara percuma untuk kunjungan orang ramai setiap hari Sabtu hingga Rabu bermula kelmarin sehingga 30 Jun ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Selain pameran, aktiviti sampingan juga turut disediakan di muzium tersebut mengikut jadual khusus untuk menarik minat murid-murid dan pelajar-pelajar yang ingin belajar dan mengetahui tentang teknik free sketching, the art of pointilism, collage, basic stamping dan pembuatan cenderamata.
Antara yang akan memberi tunjuk ajar semasa pameran tersebut adalah terdiri daripada pelukis-pelukis dari Jabatan Muzium-muzium iaitu Awang Kassim bin Ismail, Awang Alias bin Asat, Awang Osman bin Bakir, Haji Rosli bin Haji Kadir (AHR) dan Wafi HMS.
Pameran tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan martabat seni lukis kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus memberigakan Muzium Daerah Belait kepada penduduk setempat dan pelancong dari luar negara.
Muzium Daerah Belait telah dibukakan untuk kunjungan orang ramai sejak 23 Julai 2016 dan setakat ini, ia telah menerima sejumlah 2,600 orang pengunjung.