47 maut diserang penyamun

KANO, NIGERIA, 20 APRIL – Sekumpulan penyamun yang menunggang lebih 100 motosikal, membunuh 47 orang dalam serangan terancang ke atas beberapa perkampungan petani di negeri utara Nigeria, Katsina, kata Pejabat Presiden dan polis tempatan semalam.

Jurucakap polis negeri itu, Gambo Isah, dalam satu kenyataan berkata penyamun berkenaan melancarkan ‘serangan secara terancang dan serentak’ terhadap perkampungan tersebut. Beliau berkata, serbuan pada awal pagi kelmarin itu menyasarkan perkampungan di daerah Dutsenma, Danmusa dan Safana.

Jurucakap kepada Presiden Muhammadu Buhari pula mengesahkan serangan itu dalam satu kenyataan yang turut mengutuk gerombolan lelaki bersenjata api terbabit sebagai ‘penyamun’.

Isah berkata anggota pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikerahkan ke lokasi berkenaan, semalam.

Penyamun berkenaan dipercayai terdiri daripada ahli geng penjenayah yang menjalankan kegiatan mencuri lembu dan menculik untuk mendapatkan wang tebusan di kawasan terbabit.

Menurut polis dalam satu kenyataan, penduduk kampung telah bertindak melawan mereka dalam satu serangan sebelum itu.

Bagaimanapun, geng terbabit datang semula pada pukul 2:30 pagi dengan menunggang kira-kira 150 motosikal di mana setiap satu membawa dua hingga tiga orang.

Penduduk memberitahu polis bahawa penjenayah itu kemudian melepaskan tembakan bertalu-talu di perkampungan berkenaan, selain turut membakar rumah. – AFP