47 terbunuh dalam serangan pemberontak

OUAGADOUGOU, 19 OGOS – Seramai 47 termasuk 30 orang awam, 14 tentera dan  tiga anggota bantuan, terbunuh dalam satu serangan pemberontak pada Rabu di wilayah Sahel utara Burkina Faso, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi konvoi membabitkan orang awam, pasukan pertahanan dan keselamatan serta sukarelawan Defence of the Motherland (VDP) itu diserang di daerah berdekatan Gorgadji, di Sahel, wilayah yang sedang bergolak. 

“Tentera kerajaan membunuh 58 pemberontak dan mencederakan beberapa pemberontak yang sebahagiannya dapat melarikan diri.

“Bagaimanapun, 30 orang terkorban dan 19 yang lain cedera, Misi menyelamat masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Seramai 14 tentera dan tiga anggota VDP turut maut dalam serangan itu.

Keselamatan di Burkina Faso bertambah buruk sejak 2015, dengan pemberontak membunuh lebih 1,000 orang dan menyebabkan lebih satu juta yang lain menjadi pelarian. – Bernama