47,000 anggota dikerah jaga keselamatan

JAKARTA, 25 JUN – Sebanyak 47,000 anggota polis, tentera dan pentadbiran Indonesia digerakkan bagi menjaga lokasi penting di seluruh Jakarta pada Khamis apabila Mahkamah Konstitusi (MK) dijadual mengumumkan keputusannya berhubung kes pertikaian pilihan raya presiden, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Jurucakap polis nasional Brigidier Jeneral Dedi Prasetyo berkata dalam usaha menjangkakan sebarang gangguan awam, sejumlah 17,000 tentera, 28,000 polis dan 20,000 pegawai bahagian pentadbiran ibu negara akan digerak bagi tujuan itu.

Sejumlah 13,000 akan ditempatkan di komples bangunan MK manakala 15,000 lagi di Istana Negara, bangunan Komisi Pilihan Raya Umum (KPU), bangunan Agensi Penyeliaan Pilihan Raya dan beberapa kedutaan, katanya. Beliau menegaskan bahawa penduduk tempatan tidak perlu bimbang dan boleh meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa pada hari keputusan diumumkan. Pilihan raya Indonesia berlangsung pada 17 April untuk memilih presiden, naib presiden dan lebih 20,000 penggubal undang-undang di peringkat tempatan dan nasional. – Bernama