48% penduduk dunia alami diet tidak seimbang

PARIS, 23 NOV – Hampir separuh penduduk dunia menderita kekurangan nutrien berkaitan dengan terlalu banyak atau terlalu sedikit makan, menurut penilaian global dengan kesan terhadap kesihatan dan planet, hari ini.

Laporan Nutrien Global (GNR), kajian dan analisis tahunan dalam data terkini terhadap nutrien dan isu berkaitan kesihatan, mendapati 48 peratus orang yang ketika ini makan sama ada terlalu sedikit atau terlalu banyak – menyebabkan mereka mengalami masalah berat badan berlebihan, obes atau kurang berat badan.

Pada kadar ini, menurut hasil laporan, dunia akan gagal memenuhi lapan daripada sembilan sasaran nutrien yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjelang 2025.

Ini termasuk mengurangkan penyusutan kanak-kanak (apabila mereka terlalu kurus bagi ketinggian mereka) dan pembantutan kanak-kanak (apabila mereka terlalu pendek bagi usia mereka), dan juga obesiti dalam kalangan dewasa.

Laporan menganggarkan hampir 150 juta kanak-kanak di bawah lima tahun mengalami masalah pembantutan perkembangan, lebih 45 juta kanak-kanak terlalu kurus untuk ketinggian mereka dan hampir 40 juta kanak-kanak dikira mempunyai berat badan berlebihan.

Ia turut mendapati lebih 40 peratus orang dewasa (2.2 bi-lion orang) kini dalam kategori mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Kematian yang boleh dielak kerana diet tidak seimbang meningkat 15 peratus sejak 2010 dan ia kini penyebab kepada suku kematian orang dewasa,” menurut Pengerusi Kumpulan Pakar Bebas GNR, Renata Micha memberitahu AFP.

“Hasil kajian global kami menunjukkan pemakanan kita tidak ditambah baik dalam masa 10 tahun kebelakangan dan kini ancaman utama kepada kesihatan orang ramai dan planet ini.” – AFP

Menurut laporan, 48 peratus orang yang ketika ini makan sama ada terlalu sedikit atau terlalu banyak – menyebabkan mereka mengalami masalah berat badan berlebihan, obes atau kurang berat badan.