48 positif ujian ART di pusat vaksinasi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Lebih 11,000 ujian pantas antigen (ART) telah dilaksanakan di pusat-pusat vaksinasi sejak awal bulan ini dan daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan telah mendapati 48 orang positif.

Daripada jumlah yang positif itu, pihak kementerian telah mengenal pasti kontak terdekat dan 33 orang lagi masih dikesan.

Walau bagaimanapun daripada 81 orang (kontak terdekat), 58 orang telah didapati positif setelah menjalani ujian PCR.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai perlaksanaan ART di pusat vaksinasi semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, ART berkenaan dilaksanakan sebagai satu pengawasan untuk memantau, adakah masih banyak lagi penularan dalam kalangan masyarakat selain salah satu kaedah untuk kementerian membuat pemantauan penularan dengan lebih baik.

Mengulas persoalan mengenai pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun ke atas, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus penduduk negara ini yang menerima vaksinasi.

“Kita mahukan semua yang dapat divaksin untuk menerima vaksin mereka.

“Kita mengetahui mereka yang telah mendapatkan vaksinasi pun boleh dijangkiti tetapi gejalanya kurang dan untuk mengawal penularan ini lebih baik, adalah untuk memberikan vaksin kepada semua yang layak untuk mendapatkan vaksin,” tambahnya.

Gambar fail orang ramai berbaris memasuki Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup di ibu negara. Sejumlah 48 kes positif dikenal pasti dari pusat vaksinasi di seluruh negara, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan.